Maut dihempap pokok
Johor: Seorang pengawal keselamatan maut dipercayai dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Persona 1, Taman Pelangi Indah, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Jasni Saidin, berkata mangsa, Amir Muhammad, 40-an, seorang warga Pakistan, maut ketika berada di dalam pondok keselamatan dalam kawasan perumahan itu.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.44 pagi tadi, pihaknya menggerakkan 13 anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa iaitu lelaki dewasa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dihempap sebatang pokok.
"Bomba bertindak memotong pokok yang tumbang dengan menggunakan peralatan khas iaitu gergaji dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan 'ResQtek Airbag'.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 5.16 pagi.
